Tuesday, October 16, 2007

RapSoul - Party Tonite (Live)




Suara & sebutan tidak jelas? Itu bermakna ia "LIVE" dan bukannya miming.

Thursday, September 27, 2007

Ikan Kekek Interlude

Hello...

Kali ini kami ingin bercerita tentang lagu lama yang telah diberi nafas baru. Sebenarnya banyak lagu-lagu lama yang kita terlepas pandang. Apa yang akan terjadi jika lagu-lagu lama ini dilupakan? Agak sayang jika ia lupus ditelan zaman.

Ikan Kekek ini sebenarnya lagu favourite kanak-kanak termasuklah kami semasa di bangku sekolah rendah dahulu. Masa kini, kami tidak pasti jika ia masih sepopular dulu. Ilham menyanyikan semula Ikan Kekek ini timbul pada tahun 2005. Ketika itu, ReubN sedang khusyuk bermain gitar sementara adiknya yang baru berusia 10 tahun menyanyikan lagu Ikan Kekek. Dia menyedari bahawa lagu itu sedap jika didendangkan dengan gitar. Maka dari situlah bermulanya Ikan Kekek versi akustik.

Kemudian pada pertengahan tahun 2006, Mern dan Guy menyumbangkan suara untuk menjadikannya lebih harmoni. Dengarkanlah demo kami di ruangan "DEMO TAPE". Sekian.

KREDIT to: The Owner of the folk song "Ikan Kekek".

Thursday, September 13, 2007

Berita Terbaru Brother Of Blood

Apabila blog ini sepi, maka dapatlah kita simpulkan bahawa belum ada apa-apa perkembangan yang boleh dibanggakan oleh RapSoul. Sedih dan sakit hati melihat keadaan sebegini. Semangat bukan lagi 100%. Kini ia bernilai 40%. Dilema antara kerjaya dan minat. Jika kami ingin berkumpul, kami kenalah mempunyai masa yang sama. Untuk mempunyai keseragaman masa itu, kami kena korbankan sedikit masa bekerja kami. Jika kami sentiasa korbankan masa kerja kami, maka majikan akan menggeleng kepala dan tawar hati untuk mengupah kami lagi. Dan akhirnya kami kehilangan kerja. Cakap senang, tetapi apabila menghadapi situasi sebenar... "TIDAK SEMUDAH ITU!". Kami sentiasa berkarya. Lagu baru tetap ada. Namun apa yang jelas terasa adalah, semangat berkumpulan itu semakin pudar. Dulu, kami akan menyusun melodi, lirik dan muzik bersama-sama. Sekarang, sukar untuk kami membincangkan langkah seterusnya.

Maka dengan itu, alangkah baiknya jika kami masing-masing menuruti naluri itu. Mungkin kami akan membuat lagu masing-masing dan merakamnya sendiri. Untuk lebih manis didengar, PROJEK SOLO daripada anggota-anggota RapSoul. Jika susah untuk bergerak bersama, kami akan bergerak masing-masing dan akan tetap membawa nama "RapSoul"! Buat masa ini, kami belum berani berkata apa-apa kerana perancangan ini masih di peringkat awalan dan belum pasti progressnya. Tunggu sahaja di update yang mendatang...

Contohnya, lagu yang terkandung dalam singing box kami ini "Song For Ma Boo". Ia merupakan hasil tulisan Mr.Kudique. Pada bahagian chorus, ReubN tampil menyumbangkan suara. Ia cuma melibatkan dua orang anggota RapSoul. Mungkin lagu-lagu kami di masa akan datang akan berbentuk sebegitu. Mungkin gandingan Kudique dan Mern, mungkin gandingan Cliff dan Ekee, mungkin penampilan perseorangan Guy, mungkin gandingan vokalis-vokalis sahaja atau mungkin gandingan rappers sahaja. Mungkin... tidak pasti.

Sunday, September 02, 2007

Demo"TAPE" RapSoul

Mungkin tiada siapa yang tahu RapSoul bermula dari cebisan-cebisan kecil yang tiada nilainya di mata orang lain. Tiada siapa tahu kami berhempas pulas menyusun lirik, mencari melodi, bermain instrumen muzik dan belajar merakam. Kami lakukannya sendirian. Kalau mahu diikutkan hati, "Alangkah bagusnya jika ada bantuan pakar...". Namun apabila soal itu melibatkan WANG, kami terpaksa lupakan sahaja. Kami tidak mampu!

Oleh itu, kepada para pengunjung blog ini, kami hanya mampu memperdengarkan kepada anda hasil kerja kami yang paling maksimum. Biarpun ia belum mencapai kualiti standard untuk melayakkan diri agar di'UDARA'kan, kami harap keikhlasan kami berkarya dapat didengari melalui blog ini. Lagu kami tidak mungkin berada di corong radio... Ia cuma terdapat di "corong blog" kami sahaja.

Sunday, July 29, 2007

Saat Yang Dirindui... Sampai Bila Begini?

RapSoul On The Stage Performing "Ku Berlari".
RapSoul 28 Julai,2007.

Sudah hampir setahun RapSoul tidak pernah muncul berenam. Semangat berkarya naik dan turun tidak menentu. Putus asa dan macam-macam dugaan. Kegeraman dan perasaan ingin lepas tangan semuanya bercampur-aduk. Rasa rindu untuk bergerak berenam kini terubat juga baru-baru ini. 28 Julai 2007, inilah tarikh di mana RapSoul muncul berenam di Dewan Canselor UMS. Sebenarnya pada peringkat permulaan, hanya 3 orang yang yakin dapat hadir dan yang lain masih belum pasti kerana masa kerja yang tidak tetap. Walaubagaimanapun, di saat-saat akhir, ahli RapSoul yang lain akhirnya muncul. Walaupun hanya sementara bersama (tidak sampai 1 jam), RapSoul sempat merakam gambar kenangan yang bolehlah dikatakan mungkin satu-satunya gambar yang lengkap untuk tahun ini.

Adakah RapSoul akan berpeluang beraksi berenam di masa-masa akan datang? Nobody Knows... Lautan tidak selalu tenang... Adakalanya ia bergelora dan begitulah nasib 6 anggota RapSoul ini.

THE PLAYERS NOT SEEN, BUT THE GAME IS STILL RUNNIN'...

Thursday, July 05, 2007

Menyokong Tanpa Memahami

Update datang lagi... kali ini ingin memperkatakan sedikit tentang hal-hal yang berkaitan dengan sokongan dan pemahaman. Masih berkaitan dengan perjuangan muzik. Kami syorkan jika anda tidak setuju dengan pendapat kami, tinggalkan sahaja blog ini. Kerana kami tidak akan menarik balik apa yang bakal kami perkatakan. Harap maafkan kami atas segala kekasaran bahasa yang bakal kami suarakan.

Adakah anda di kalangan mereka yang suka memuji dan tumpang berbangga, namun tidak tahu pahit manis perjuangan seseorang pengkarya? Adakah anda tergolong dalam golongan yang suka tunjuk tahu tapi sebenarnya tidak tahu? Adakah anda berfikir hanya anda yang betul? Hanya anda yang waras? Hanya anda yang lurus? Hanya anda yang tahu? Hanya anda yang berhak? Bawa bersabar 'tuan-tuan dan puan-puan', ini cumalah pertanyaan biasa kami yang tidak perlu dijawabpun. Jawab dalam hati masing-masinglah. Tamat intro.

Terdapat sesetengah individu itu merasakan bahawa dia tahu semuanya, dia pakar semuanya dan macam-macam lagi 'perasaan' yang menggambarkan tentang kesempurnaan. Tapi jika dikorek dalam-dalam, dia cuma di kalangan yang biasa sahaja. Siapa-siapa pun boleh buat. Ada individu yang mewujudkan beberapa spekulasi, namun apabila mendapat tindakbalas yang menakjubkan, individu terlibat berdiam diri sahaja. Hmm...

Bercakap tentang topik kali ini, pernahkah anda menyokong artis kegemaran anda namun tidak pernah tahu betapa susahnya dia berkarya? Jika jawapan anda "YA", maka anda cumalah pendengar biasa. Anda ingin mempertikaikan pandangan ini? Dan sekali lagi keluar soalan seperti ini "Adakah anda sudah membeli album artis ini?" apakah jawapan anda? Adakah jawapan anda "YA"? Maka kami mohon maaflah kerana anda rupa-rupanya menyokong juga dengan membeli albumnya. Tetapi, jika anda setakat "DOWNLOAD FREE", artis itu mahu makan apa? Jika berterusan sebegitu, artis itu akan semakin kurus kering dan tinggal merempat lalu tidak berdaya berkarya lagi. Di manakah sokongan yang disuarakan selama ini? Itu cuma cakap-cakap sahaja. Siapa-siapa pun boleh lakukannya.

Bagaimanakah nasib artis yang bergantung sepenuhnya kepada muzik untuk meneruskan hidup? Album tidak laku tetapi nama sentiasa dijulang. Lagu-lagunya mantap, selalu mendapat tempat untuk dimainkan di stesen-stesen radio. Namun hasil jualan tidak membanggakan. Mengapa? Kerana kemudahan copy & paste, CD burning, audio converter dan macam-macam perkakasan yang berkenaan. Di dalam 100%, berapa peratus yang benar-benar membeli? Berapa peratus???

Hargailah perjuangan artis kesayangan anda... Terutamanya artis tempatan. Siapa tahu, mereka akan memartabatkan bangsa kita di masa akan datang. Sokonglah betul-betul...

Thursday, June 14, 2007

Peminat Setia atau Peminat Sahaja?

Kadang-kadang, kita tidak akan sedar bahawa sesetengah perkara yang melibatkan nasib seseorang itu ditentukan oleh kita tanpa disedari. Mungkin kita sedar setiap cukai yang dikenakan pada barangan, makanan, minuman, rumah, kenderaan, pintu, tandas, dan macam-macam itu adalah WANG kita yang akan menjadi gaji kepada kakitangan kerajaan yang berkhidmat di negara kita ini. Setiap kali pergi menjamu selera atau pergi membeli-belah, kita akan dikenakan cukai beberapa peratus. Berapa juta penduduk di negara kita yang dikenakan cukai setiap hari? Haaa... jumlah besar itulah yang membolehkan semua kakitangan kerajaan mendapat gaji secukupnya. Tamat intro.

Sekarang, kita cuba fahami pula nasib artis-artis dan pengkarya-pengkarya kita di sekeliling kita ini. Mungkin kita sedar, tanpa peminat siapalah artis itu. Mungkin kita sedar, jatuh bangun artis itu adalah bergantung kepada orang umum. Namun kita tidak sedar, bahawa jatuh bangunnya industri muzik itu juga adalah bergantung kepada semua orang. Ada juga sesetengah manusia mempersalahkan golongan artis dan pengkarya jika berlakunya kejatuhan industri muzik kita. Patutkah mereka dipersalahkan sepenuhnya?

Tahukah anda? Bermula daripada memeras otak menghasilkan lagu, seawal minit pertama, kos sudah diperlukan. Pen, pensel, kertas dan kaset kosong, tidakkah anda sedar itu semua memerlukan wang walaupun tidak seberapa? Sesudah selesai lagu itu digubah, maka perlu memasuki proses menyusun lagu tersebut (arrangement). Jika pengkarya itu berkebolehan dalam penyusunan lagu, itu sudah menjadi bonus dan jimat kos. Bagaimana pula bagi mereka yang tidak arif? Terpaksa mengeluarkan kos untuk membayar upah kepada orang yang tahu. Selepas lagu disusun, terpaksa pula menyewa studio untuk sesi rakaman suara. Andaikan kadar bayaran adalah RM80 sejam. Berapakah jumlah wang yang diperlukan untuk tujuan itu?

Lagu yang sudah siap disusun dan sudah melepasi sesi rakaman suara akan melalui proses adunan (mixing) dan mastering. Harga untuk melakukan kerja-kerja adunan dan mastering bukan seperti harga Nasi Goreng di restoran atau harga masuk tandas awam. Untuk satu album yang lengkap, ia memerlukan ribuan ringgit! Jika diperhatikan betul-betul, pengkarya dan artis ini boleh dianggap cari nahas. Apa tidaknya, semuanya melibatkan kos yang besar juga. Silap sikit boleh jatuh muflis. Mungkin akan OK jika ada penaja. Tapi penaja pun tidak akan sembarangan menaja. Mereka mahu pulangan juga. Untuk meneruskan hidup seharian. Tiada yang FREE sebenarnya.

Persoalannya di sini, jika album baru berada dipasaran, berapa unitkah yang akan terjual? Mampukah para pengkarya mendapat pulangan yang memuaskan? Kalau balik pokok, bolehlah menarik nafas lega. Bagaimana jika tidak? Lepas itu, hilanglah nama artis itu. Padahal artis itu boleh pergi jauh. Lagu sedap, meletup. Cuma ia menimbulkan seribu tanda tanya, KENAPA hilang begitu sahaja? Kita tahu sesetengah artis dan pengkarya itu sudah GLAMOUR, tetapi masih statik. Kenapa jadi begitu?

Ini kerana wujudnya PEMINAT SETIA dan PEMINAT SAHAJA. Peminat setia akan membeli produk artis kesayangan mereka yang asli. Tidak akan membeli versi cetak rompak. Tiada gambar fotostat. Tiada lagu di kaset DUBBING. Semuanya ORIGINAL. Peminat sahaja akan berfikir 500 kali sebelum membeli album artis kesayangan mereka. Mungkin bagus dapat FREE. Atau BURN sahaja. Dan apabila berkesempatan untuk bertemu dengan artis pujaan mereka, tanpa segan silu PEMINAT SAHAJA itu mengucapkan "Saya tahu semua lagu di dalam album anda!". Hahaha. Sebab semuanya sudah diBURN dalam CD kosong yang dibeli di kedai.

Alangkah manisnya jika ada manusia yang bertemu artis pujaan mereka itu dan mengucapkan "Saya memiliki semua koleksi album anda!" sambil menunjukkan kesemua kulit album ORIGINAL untuk ditandatangani.

Thursday, June 07, 2007

Saksikan INFINATEZ di Final Gangstarz!

Jika anda hanya mengenali INFINATEZ di Gangstarz, kami rasakan bahawa anda sudah ketinggalan banyak maklumat. Sebenarnya, INFINATEZ sudah bertapak di scene R&B Underground Malaysia khasnya kira-kira 3 tahun yang lalu. Mereka memang patut mendapat apa yang sepatutnya mereka berhak. Jika anda masih ragu-ragu akan kata-kata kami ini, silalah lawati www.infinatez.blogspot.com atau layari laman web rasmi mereka di www.infinatez.com.

Perjuangan mereka selama ini sememangnya agak mencabar sekali. Lihat sahaja setiap persembahan mereka di Gangstarz sejak audition hingga ke pusingan 'wildcard', sebenarnya mereka mampu pergi lebih jauh! Bukan mudah untuk menjayakan kumpulan. Ia memerlukan banyak usaha, pengorbanan, persefahaman, komitmen dan passion yang tinggi. Mereka sudah melalui semua pahit manis itu sejak kumpulan ini ditubuhkan.

Dalam ruangan ini, kami juga ingin menyertai penyokong-penyokong yang lain untuk berkempen untuk INFINATEZ. Jadi kepada anda yang datang menjenguk blog ini, dengarlah seruan kami SUPPORT INFINATEZ!

Monday, May 28, 2007

Apabila Semua Hal Memerlukan Penggunaan Wang

Wohh!!

Sebenarnya, untuk menukarkan tema RapSoul In Da House kepada RapSoul-In Our Humble Opinion bukan perkara 'suka-suka'. Memandangkan perjuangan muzik kami banyak tergendala dan tiada update yang relevan dengan tema yang lama, maka ada baiknya jika diwujudkan tema baru di mana pendapat dan suara hati kami dapat diluahkan dengan lebih berkesan.

Mungkin benar kami tidak ditakdirkan untuk bergantung sepenuhnya kepada muzik untuk berjaya dalam hidup yang sementara ini. Kami perlu menjalani kehidupan seperti biasa seperti jiran sebelah rumah, pergi ke tempat kerja dan menunggu masa mendapat gaji. Ia akan berulang sehinggalah kami tua dan menunggu saat tibanya ajal. Hmmm...

Namun begitu, kami tidak mampu mengikis atau melupakan muzik begitu sahaja. Ia sudah menjadi makanan harian untuk jiwa kami masing-masing. Pernah juga suatu ketika itu, kami hanya melayan lagu-lagu sepertimana orang lain hanya berfungsi sebagai pendengar biasa. Tetapi rasa 'gatal' di hati untuk menggubah lagu sendiri itu semakin kuat. Semakin sedap lagu-lagu yang kami dengar, semakin 'gatal' rasa dalam hati ini.

Kami tidaklah seaktif mana dalam penggubahan lagu. Namun jika diperhati, perjuangan itu tetap ada walaupun tidak rancak. Tidak rancak? Kerana kami bukan pengkarya sepenuh masa. Kami ada kerja lain. Dan kami bosan setiap kali mengungkapkan " Kami ada kerja lain...". Tiada alasan lain. Sememangnya alasan itu cukup membosankan kepada sesiapa yang bertanya.

Ada ketikanya orang bertanya "Kenapa tidak teruskan, kenapa tidak berusaha bersungguh-sungguh?" Soalan sebegini selalu kami dengar. Bukan tidak bersungguh-sungguh, cuma kami tidak mampu. Kalau kami melalak di tengah bandaraya Kota Kinabalu dan menghadiri jemputan menyanyi, adakah ia mencukupi untuk melangsaikan sewa rumah bulanan kami? Adakah kami mampu membeli mi segera? Adakah kami mampu membeli sabun mandi? Ubat gigi? Tambang bas? Adakah ia cukup??? Melalak di tengah bandar, mungkin akan tinggal sehari di lokap dan makanan percuma. Sebab itulah kami tidak berani mengorbankan kerja kami biarpun setakat membersihkan tandas sekalipun!

Kami lembab tapi kami bukan tidak berbuat apa-apa. Pernah kami suarakan dahulu, 24 jam sehari tidak mencukupi. Banyak urusan lain. Masing-masing ada urusan. Tenaga pun terhad. Kami bukan Ultraman. Kami bukan Robocop. Kami bukan GABAN! Kalau anda GABAN, tolonglah kami. Hahaha. Ketawa seketika.

Jika Tuhan mengurniakan rezeki lebih kepada muzik kami, mudah-mudahan kelak kami dapat edarkan demo kami di merata-rata. Jika lain kali ada seringgit dua, mudah-mudahan dapat kami terbitkan koleksi demo kami. Dan jika benar wujud GABAN, kami akan ke planet Marikh. Mudah-mudahan.

Wednesday, May 23, 2007

Apabila jiwa sudah melekat dengan benda FREE...

Harga barangan sudah naik. Duit belanja semakin tidak konsisten. Terpaksa kerja lebih gigih, walaupun gaji tetap sama. Hendak beli itu ini, terpaksa berfikir 2-3 kali. Lalu terlintas di hati, "kan bagus kalau FREE...".

Barangan runcit tiada yang FREE. Peniaga pun mahu cari makan juga. Masuk tandas, kena bayar. Letak kereta, kena bayar. Bayar, bayar, dan bayar. Apa benda yang FREE? Surat khabar? Nasi lemak? Air sejuk? Tiada satu pun yang FREE. CD atau kaset cetak rompak? Kena bayar juga.

Suasana muzik kita? Segala-galanya boleh dimuat turun. Anda kaki 'download'? Kami juga kaki 'download'. Semuanya FREE. Jika ada yang berbayarpun, pasti ada cara untuk mendapatkan yang tidak berbayar. Sesuatu yang FREE!

Apa pula bakal terjadi kepada penggiat-penggiat seni jika mereka tidak mendapat pulangan yang sepatutnya? Tentu ada yang gulung tikar, timbul tenggelam dan sebagainya. Ada juga yang menukar bidang, ke alam pekerjaan yang boleh menampung kehidupan seharian mereka. Seperti kami juga.

Kami berhajat untuk mengembangkan bakat kami, karya kami dan potensi-potensi tersembunyi kami. Namun bukan mudah sebenarnya. Besar kemungkinan kami terpaksa lupakan sahaja angan-angan itu. Oleh itu sebagai peringatan, kepada kita yang suka men'download' hasil kerja orang, hargailah karya mereka. Jangan pula sesudah men'download', lagu itu dikutuk pula. Sudahlah FREE, kena kutuk lagi. Dengar dengan hati hasil kerja mereka. Carilah keikhlasan dalam lagu mereka. Jangan kutuk membuta tuli "Lagu buruk", "Lagu tidak sedap" dan macam-macam lagi.

Bayangkan sahaja si pengkarya ini, mengambil masa dan tenaga mempelajari asas-asas muzik, programming, belajar instrumen, teknik-teknik dan mencari ilham. Itu semua bukan perkara senang atau boleh dipandang sebelah mata. Ianya memakan masa, tenaga dan wang! Mungkin si pengkarya tidak mampu untuk pergi di luar sana. Maka di'upload'lah hasil kerjanya di ruang internet. Harapan di hati agar ada yang sudi mendengar. Dan ianya FREE. Melihat keikhlasannya untuk berkarya, patutkah kita terus tembak bahawa lagunya TIDAK SEDAP???

Daripada tembak tidak tentu hala, lebih baik kita hubungi si pengkarya itu dan kongsikan pendapat atau cadangan. Sekurang-kurangnya kita sudah membantu. Siapa tahu di masa-masa akan datang, karyanya bertambah baik dan mendapat perhatian lalu dapatlah dia keluar dari "penjara"nya. Siapa yang senang hati? Kita juga dan konco-konco jika ada.

Hmmm... Seperkara lagi kepada kaki download, jika anda merasakan apa yang anda download itu tidak berkualiti sistem bunyinya, tidak jelas, atau tidak kedengaran, janganlah anda marah-marah dan mengutuk sesuka hati. Ia berbaloi dengan apa yang anda faham tentang FREE. Kalau mahu sound yang power, pergilah ke kedai dan carilah album idaman anda itu. Anda perlu bayar untuk setiap kepuasan yang anda mahu.

Tuesday, May 22, 2007

Kualiti vs Realiti

"Macam pernah ku dengar tajuk ini... tapi di mana ya?"

KUALITI dari sudut pandangan kami adalah sesuatu yang "bukan selalu ada". KUALITI adalah sesuatu yang memuaskan. Tidak kiralah dari apa segi. Ambil contoh makanan, makanan yang berKUALITI adalah makanan yang akan menambahkan kekuatan pada badan kita malah menjamin kesihatan yang stabil. Makanan yang tidak berKUALITI adalah makanan yang tidak menjamin kesihatan malah memudaratkan.

REALITI pula bagi kami adalah sesuatu yang kebanyakan berlaku di sekitar kita. Tidak kira baik atau buruk, ia merupakan lumrah dan kita anggap atau terima sebagai kenyataan. Tidak kira sesuai atau tidak, kita terpaksa biarkan sahaja. Tidak kira manis atau pahit, kita terpaksa telan.

Masih dengan contoh makanan seperti yang disebutkan di atas, REALITInya rata-rata orang di sekeliling kita tetap akan mengambil makanan segera dan makanan ringan sebagai pilihan utama mereka. Sungguhpun sudah dididik tentang kesedaran betapa berfaedahnya KUALITI, namun bukan semua ambil berat.

Keadaan seumpama itu juga berlaku dalam industri muzik kita. BAKAT tidak lagi dipandang oleh individu-individu yang sudah BUTA SMS. Mengapa kami katakan BUTA SMS? Ini kerana sesiapapun boleh mengundi asalkan telefon bimbit berisi penuh dengan kredit. Mereka juga boleh mengundi sesiapa sahaja yang mereka suka asalkan hati senang. Kami sifatkan di sini, mereka yang tergolong dalam kumpulan BUTA SMS adalah mereka yang tidak mempunyai pengetahuan langsung dalam menilai bakat. Janji mereka sukakan "bintang pujaan" yang tidak tahu apa-apa itu.

Kami tidak akan menyebut program mana atau peserta mana yang sepatutnya BERAMBUS, cukuplah setakat di sini luahan kami. Anda di luar sana pun tahu maksud kami... Melainkan anda adalah penganut BUTA SMS...

Maafkan kami jika ada kekasaran bahasa dalam artikel ini. Untuk pengetahuan anda, manusia berKUALITI adalah bersopan-santun namun REALITInya tetap ada yang akan memaki hamun.