Harga barangan sudah naik. Duit belanja semakin tidak konsisten. Terpaksa kerja lebih gigih, walaupun gaji tetap sama. Hendak beli itu ini, terpaksa berfikir 2-3 kali. Lalu terlintas di hati, "kan bagus kalau FREE...".
Barangan runcit tiada yang FREE. Peniaga pun mahu cari makan juga. Masuk tandas, kena bayar. Letak kereta, kena bayar. Bayar, bayar, dan bayar. Apa benda yang FREE? Surat khabar? Nasi lemak? Air sejuk? Tiada satu pun yang FREE. CD atau kaset cetak rompak? Kena bayar juga.
Suasana muzik kita? Segala-galanya boleh dimuat turun. Anda kaki 'download'? Kami juga kaki 'download'. Semuanya FREE. Jika ada yang berbayarpun, pasti ada cara untuk mendapatkan yang tidak berbayar. Sesuatu yang FREE!
Apa pula bakal terjadi kepada penggiat-penggiat seni jika mereka tidak mendapat pulangan yang sepatutnya? Tentu ada yang gulung tikar, timbul tenggelam dan sebagainya. Ada juga yang menukar bidang, ke alam pekerjaan yang boleh menampung kehidupan seharian mereka. Seperti kami juga.
Kami berhajat untuk mengembangkan bakat kami, karya kami dan potensi-potensi tersembunyi kami. Namun bukan mudah sebenarnya. Besar kemungkinan kami terpaksa lupakan sahaja angan-angan itu. Oleh itu sebagai peringatan, kepada kita yang suka men'download' hasil kerja orang, hargailah karya mereka. Jangan pula sesudah men'download', lagu itu dikutuk pula. Sudahlah FREE, kena kutuk lagi. Dengar dengan hati hasil kerja mereka. Carilah keikhlasan dalam lagu mereka. Jangan kutuk membuta tuli "Lagu buruk", "Lagu tidak sedap" dan macam-macam lagi.
Bayangkan sahaja si pengkarya ini, mengambil masa dan tenaga mempelajari asas-asas muzik, programming, belajar instrumen, teknik-teknik dan mencari ilham. Itu semua bukan perkara senang atau boleh dipandang sebelah mata. Ianya memakan masa, tenaga dan wang! Mungkin si pengkarya tidak mampu untuk pergi di luar sana. Maka di'upload'lah hasil kerjanya di ruang internet. Harapan di hati agar ada yang sudi mendengar. Dan ianya FREE. Melihat keikhlasannya untuk berkarya, patutkah kita terus tembak bahawa lagunya TIDAK SEDAP???
Daripada tembak tidak tentu hala, lebih baik kita hubungi si pengkarya itu dan kongsikan pendapat atau cadangan. Sekurang-kurangnya kita sudah membantu. Siapa tahu di masa-masa akan datang, karyanya bertambah baik dan mendapat perhatian lalu dapatlah dia keluar dari "penjara"nya. Siapa yang senang hati? Kita juga dan konco-konco jika ada.
Hmmm... Seperkara lagi kepada kaki download, jika anda merasakan apa yang anda download itu tidak berkualiti sistem bunyinya, tidak jelas, atau tidak kedengaran, janganlah anda marah-marah dan mengutuk sesuka hati. Ia berbaloi dengan apa yang anda faham tentang FREE. Kalau mahu sound yang power, pergilah ke kedai dan carilah album idaman anda itu. Anda perlu bayar untuk setiap kepuasan yang anda mahu.
Wednesday, May 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment