Wohh!!
Sebenarnya, untuk menukarkan tema RapSoul In Da House kepada RapSoul-In Our Humble Opinion bukan perkara 'suka-suka'. Memandangkan perjuangan muzik kami banyak tergendala dan tiada update yang relevan dengan tema yang lama, maka ada baiknya jika diwujudkan tema baru di mana pendapat dan suara hati kami dapat diluahkan dengan lebih berkesan.
Mungkin benar kami tidak ditakdirkan untuk bergantung sepenuhnya kepada muzik untuk berjaya dalam hidup yang sementara ini. Kami perlu menjalani kehidupan seperti biasa seperti jiran sebelah rumah, pergi ke tempat kerja dan menunggu masa mendapat gaji. Ia akan berulang sehinggalah kami tua dan menunggu saat tibanya ajal. Hmmm...
Namun begitu, kami tidak mampu mengikis atau melupakan muzik begitu sahaja. Ia sudah menjadi makanan harian untuk jiwa kami masing-masing. Pernah juga suatu ketika itu, kami hanya melayan lagu-lagu sepertimana orang lain hanya berfungsi sebagai pendengar biasa. Tetapi rasa 'gatal' di hati untuk menggubah lagu sendiri itu semakin kuat. Semakin sedap lagu-lagu yang kami dengar, semakin 'gatal' rasa dalam hati ini.
Kami tidaklah seaktif mana dalam penggubahan lagu. Namun jika diperhati, perjuangan itu tetap ada walaupun tidak rancak. Tidak rancak? Kerana kami bukan pengkarya sepenuh masa. Kami ada kerja lain. Dan kami bosan setiap kali mengungkapkan " Kami ada kerja lain...". Tiada alasan lain. Sememangnya alasan itu cukup membosankan kepada sesiapa yang bertanya.
Ada ketikanya orang bertanya "Kenapa tidak teruskan, kenapa tidak berusaha bersungguh-sungguh?" Soalan sebegini selalu kami dengar. Bukan tidak bersungguh-sungguh, cuma kami tidak mampu. Kalau kami melalak di tengah bandaraya Kota Kinabalu dan menghadiri jemputan menyanyi, adakah ia mencukupi untuk melangsaikan sewa rumah bulanan kami? Adakah kami mampu membeli mi segera? Adakah kami mampu membeli sabun mandi? Ubat gigi? Tambang bas? Adakah ia cukup??? Melalak di tengah bandar, mungkin akan tinggal sehari di lokap dan makanan percuma. Sebab itulah kami tidak berani mengorbankan kerja kami biarpun setakat membersihkan tandas sekalipun!
Kami lembab tapi kami bukan tidak berbuat apa-apa. Pernah kami suarakan dahulu, 24 jam sehari tidak mencukupi. Banyak urusan lain. Masing-masing ada urusan. Tenaga pun terhad. Kami bukan Ultraman. Kami bukan Robocop. Kami bukan GABAN! Kalau anda GABAN, tolonglah kami. Hahaha. Ketawa seketika.
Jika Tuhan mengurniakan rezeki lebih kepada muzik kami, mudah-mudahan kelak kami dapat edarkan demo kami di merata-rata. Jika lain kali ada seringgit dua, mudah-mudahan dapat kami terbitkan koleksi demo kami. Dan jika benar wujud GABAN, kami akan ke planet Marikh. Mudah-mudahan.
Monday, May 28, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment