Monday, May 28, 2007

Apabila Semua Hal Memerlukan Penggunaan Wang

Wohh!!

Sebenarnya, untuk menukarkan tema RapSoul In Da House kepada RapSoul-In Our Humble Opinion bukan perkara 'suka-suka'. Memandangkan perjuangan muzik kami banyak tergendala dan tiada update yang relevan dengan tema yang lama, maka ada baiknya jika diwujudkan tema baru di mana pendapat dan suara hati kami dapat diluahkan dengan lebih berkesan.

Mungkin benar kami tidak ditakdirkan untuk bergantung sepenuhnya kepada muzik untuk berjaya dalam hidup yang sementara ini. Kami perlu menjalani kehidupan seperti biasa seperti jiran sebelah rumah, pergi ke tempat kerja dan menunggu masa mendapat gaji. Ia akan berulang sehinggalah kami tua dan menunggu saat tibanya ajal. Hmmm...

Namun begitu, kami tidak mampu mengikis atau melupakan muzik begitu sahaja. Ia sudah menjadi makanan harian untuk jiwa kami masing-masing. Pernah juga suatu ketika itu, kami hanya melayan lagu-lagu sepertimana orang lain hanya berfungsi sebagai pendengar biasa. Tetapi rasa 'gatal' di hati untuk menggubah lagu sendiri itu semakin kuat. Semakin sedap lagu-lagu yang kami dengar, semakin 'gatal' rasa dalam hati ini.

Kami tidaklah seaktif mana dalam penggubahan lagu. Namun jika diperhati, perjuangan itu tetap ada walaupun tidak rancak. Tidak rancak? Kerana kami bukan pengkarya sepenuh masa. Kami ada kerja lain. Dan kami bosan setiap kali mengungkapkan " Kami ada kerja lain...". Tiada alasan lain. Sememangnya alasan itu cukup membosankan kepada sesiapa yang bertanya.

Ada ketikanya orang bertanya "Kenapa tidak teruskan, kenapa tidak berusaha bersungguh-sungguh?" Soalan sebegini selalu kami dengar. Bukan tidak bersungguh-sungguh, cuma kami tidak mampu. Kalau kami melalak di tengah bandaraya Kota Kinabalu dan menghadiri jemputan menyanyi, adakah ia mencukupi untuk melangsaikan sewa rumah bulanan kami? Adakah kami mampu membeli mi segera? Adakah kami mampu membeli sabun mandi? Ubat gigi? Tambang bas? Adakah ia cukup??? Melalak di tengah bandar, mungkin akan tinggal sehari di lokap dan makanan percuma. Sebab itulah kami tidak berani mengorbankan kerja kami biarpun setakat membersihkan tandas sekalipun!

Kami lembab tapi kami bukan tidak berbuat apa-apa. Pernah kami suarakan dahulu, 24 jam sehari tidak mencukupi. Banyak urusan lain. Masing-masing ada urusan. Tenaga pun terhad. Kami bukan Ultraman. Kami bukan Robocop. Kami bukan GABAN! Kalau anda GABAN, tolonglah kami. Hahaha. Ketawa seketika.

Jika Tuhan mengurniakan rezeki lebih kepada muzik kami, mudah-mudahan kelak kami dapat edarkan demo kami di merata-rata. Jika lain kali ada seringgit dua, mudah-mudahan dapat kami terbitkan koleksi demo kami. Dan jika benar wujud GABAN, kami akan ke planet Marikh. Mudah-mudahan.

Wednesday, May 23, 2007

Apabila jiwa sudah melekat dengan benda FREE...

Harga barangan sudah naik. Duit belanja semakin tidak konsisten. Terpaksa kerja lebih gigih, walaupun gaji tetap sama. Hendak beli itu ini, terpaksa berfikir 2-3 kali. Lalu terlintas di hati, "kan bagus kalau FREE...".

Barangan runcit tiada yang FREE. Peniaga pun mahu cari makan juga. Masuk tandas, kena bayar. Letak kereta, kena bayar. Bayar, bayar, dan bayar. Apa benda yang FREE? Surat khabar? Nasi lemak? Air sejuk? Tiada satu pun yang FREE. CD atau kaset cetak rompak? Kena bayar juga.

Suasana muzik kita? Segala-galanya boleh dimuat turun. Anda kaki 'download'? Kami juga kaki 'download'. Semuanya FREE. Jika ada yang berbayarpun, pasti ada cara untuk mendapatkan yang tidak berbayar. Sesuatu yang FREE!

Apa pula bakal terjadi kepada penggiat-penggiat seni jika mereka tidak mendapat pulangan yang sepatutnya? Tentu ada yang gulung tikar, timbul tenggelam dan sebagainya. Ada juga yang menukar bidang, ke alam pekerjaan yang boleh menampung kehidupan seharian mereka. Seperti kami juga.

Kami berhajat untuk mengembangkan bakat kami, karya kami dan potensi-potensi tersembunyi kami. Namun bukan mudah sebenarnya. Besar kemungkinan kami terpaksa lupakan sahaja angan-angan itu. Oleh itu sebagai peringatan, kepada kita yang suka men'download' hasil kerja orang, hargailah karya mereka. Jangan pula sesudah men'download', lagu itu dikutuk pula. Sudahlah FREE, kena kutuk lagi. Dengar dengan hati hasil kerja mereka. Carilah keikhlasan dalam lagu mereka. Jangan kutuk membuta tuli "Lagu buruk", "Lagu tidak sedap" dan macam-macam lagi.

Bayangkan sahaja si pengkarya ini, mengambil masa dan tenaga mempelajari asas-asas muzik, programming, belajar instrumen, teknik-teknik dan mencari ilham. Itu semua bukan perkara senang atau boleh dipandang sebelah mata. Ianya memakan masa, tenaga dan wang! Mungkin si pengkarya tidak mampu untuk pergi di luar sana. Maka di'upload'lah hasil kerjanya di ruang internet. Harapan di hati agar ada yang sudi mendengar. Dan ianya FREE. Melihat keikhlasannya untuk berkarya, patutkah kita terus tembak bahawa lagunya TIDAK SEDAP???

Daripada tembak tidak tentu hala, lebih baik kita hubungi si pengkarya itu dan kongsikan pendapat atau cadangan. Sekurang-kurangnya kita sudah membantu. Siapa tahu di masa-masa akan datang, karyanya bertambah baik dan mendapat perhatian lalu dapatlah dia keluar dari "penjara"nya. Siapa yang senang hati? Kita juga dan konco-konco jika ada.

Hmmm... Seperkara lagi kepada kaki download, jika anda merasakan apa yang anda download itu tidak berkualiti sistem bunyinya, tidak jelas, atau tidak kedengaran, janganlah anda marah-marah dan mengutuk sesuka hati. Ia berbaloi dengan apa yang anda faham tentang FREE. Kalau mahu sound yang power, pergilah ke kedai dan carilah album idaman anda itu. Anda perlu bayar untuk setiap kepuasan yang anda mahu.

Tuesday, May 22, 2007

Kualiti vs Realiti

"Macam pernah ku dengar tajuk ini... tapi di mana ya?"

KUALITI dari sudut pandangan kami adalah sesuatu yang "bukan selalu ada". KUALITI adalah sesuatu yang memuaskan. Tidak kiralah dari apa segi. Ambil contoh makanan, makanan yang berKUALITI adalah makanan yang akan menambahkan kekuatan pada badan kita malah menjamin kesihatan yang stabil. Makanan yang tidak berKUALITI adalah makanan yang tidak menjamin kesihatan malah memudaratkan.

REALITI pula bagi kami adalah sesuatu yang kebanyakan berlaku di sekitar kita. Tidak kira baik atau buruk, ia merupakan lumrah dan kita anggap atau terima sebagai kenyataan. Tidak kira sesuai atau tidak, kita terpaksa biarkan sahaja. Tidak kira manis atau pahit, kita terpaksa telan.

Masih dengan contoh makanan seperti yang disebutkan di atas, REALITInya rata-rata orang di sekeliling kita tetap akan mengambil makanan segera dan makanan ringan sebagai pilihan utama mereka. Sungguhpun sudah dididik tentang kesedaran betapa berfaedahnya KUALITI, namun bukan semua ambil berat.

Keadaan seumpama itu juga berlaku dalam industri muzik kita. BAKAT tidak lagi dipandang oleh individu-individu yang sudah BUTA SMS. Mengapa kami katakan BUTA SMS? Ini kerana sesiapapun boleh mengundi asalkan telefon bimbit berisi penuh dengan kredit. Mereka juga boleh mengundi sesiapa sahaja yang mereka suka asalkan hati senang. Kami sifatkan di sini, mereka yang tergolong dalam kumpulan BUTA SMS adalah mereka yang tidak mempunyai pengetahuan langsung dalam menilai bakat. Janji mereka sukakan "bintang pujaan" yang tidak tahu apa-apa itu.

Kami tidak akan menyebut program mana atau peserta mana yang sepatutnya BERAMBUS, cukuplah setakat di sini luahan kami. Anda di luar sana pun tahu maksud kami... Melainkan anda adalah penganut BUTA SMS...

Maafkan kami jika ada kekasaran bahasa dalam artikel ini. Untuk pengetahuan anda, manusia berKUALITI adalah bersopan-santun namun REALITInya tetap ada yang akan memaki hamun.